Tuesday, July 01, 2008

Ipoh Bandaraya Unik, Perak, Malaysia

Stesen Keretapi Ipoh (1917)
Berikut adalah petikan artikel yang diambil dari Arkib Utusan Malaysia bertarikh 23/07/2009. .
Ipoh bandar raya unik
Oleh HAMIMAH HAMID utusanperak@utusan.com.my
.
IPOH 22 Julai – Bagi mereka yang pertama kali menjejakkan kaki ke bandar raya ini, bangunan-bangunan lama dengan reka bentuk yang unik pasti menarik perhatian. Berbeza dengan tempat lain di negara ini, bandar raya ini cukup unik kerana masih mengekalkan banyak bangunan lama yang didirikan oleh penjajah British. Terletak di antara deretan bangunan yang telah diberi nafas baru dan ada setengahnya sudah kelihatan uzur, namun bangunan dengan seni bina lama itu tetap mencuri tumpuan kerana imej unik yang ditonjolkan.
.
Reka bentuk bangunan lama selalunya berjaya menarik perhatian pelancong asing yang lebih gemar berjalan kaki daripada menaiki kenderaan semata-mata untuk melihat dari dekat keunikan bangunan yang secara purata berusia 100 tahun. Antara bangunan bersejarah yang menjadi mercu tanda di bandar raya ini ialah Stesen Keretapi Ipoh yang terletak di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab. Ini kerana ia memiliki struktur binaan yang menakjubkan dengan gabungan seni bina negara Turki dan seni bina moden yang masih tersergam indah dan berfungsi dengan baik.
.
Keunikannya bukan sahaja memikat hati ramai pelancong, malah warga tempatan turut berasa bangga kerana bandar raya ini mempunyai bangunan lama seperti itu malah banyak memberi manfaat dan berjasa kepada penduduk. Disebabkan itu, bangunan yang terkenal dengan keunikan seni bina Moorish mendapat jolokan ‘Taj Mahal Ipoh’ di kalangan penduduk tempatan.
Stesen berkenaan satu masa dahulu sentiasa sesak dengan penumpang kereta api yang menjadi pengangkutan utama ketika itu. Selain Stesen Keretapi Ipoh, bandar raya ini juga diserikan dengan banyak lagi bangunan lama dengan rekaan kolonial. Walaupun ada sesetengahnya uzur tanpa sebarang cat, namun seni binanya tetap utuh tidak ditelan zaman.
.
Sayang sekali jika harta penuh bernilai ini tidak diendahkan dan dijaga dengan sewajarnya. Pemeliharaan bangunan-bangunan lama ini tidak bertujuan untuk menentang arus pembangunan negara yang pesat sekarang, sebaliknya ia bagi memastikan nilai sejarahnya dikekalkan. Justeru, tinggalan penuh bersejarah itu harus dipulihara bagi menarik kemasukan lebih ramai pelancong ke ibu negeri Perak itu.

No comments:

Powered By Blogger